TANAH ADAT MELAKA / MALACCA CUSTOMARY LAND (MCL)

Tanah adat Melaka

Tanah adat yang lebih dikenali sebagai tanah adat Melaka merujuk subseksyen 94 (1) Akta 518 bermaksud tanah yang sebelum 1.1.1966 adalah tanah adat yang dalam pengertian Ordinan tersebut dan termasuk tanah yang telah diendorskan sebagai tanah adat dibawah subsekyen 109A(2) dan tanah yang diberimilik semula atau dilupuskan di bawah subseksyen 109B(3) Akta 518.

Pemegang tanah adat

Merujuk subseksyen 94 (1) Akta 518, pemegang tanah adat ialah seorang yang telah didaftar sebagai tuan punya Tanah Adat Melaka sebelum 1.1.1966 di bawah Ordinan tersebut.

Orang bukan melayu yang termasuk sebagai orang yang diikhtiraf (certificated person) di bawah seksyen 104 serta berdaftar sebagai pemilik mana-mana tanah adat di bawah seksyen 105 Akta 518 tidak dianggap berhak sebagai tuan punya tanah adat selain daripada hak yang diperuntukkan kepadanya di bawah perenggan 99(c) atau pengiktirafan yang diberikan kepadanya di bawah seksyen 104 Akta 518 bagi tanah yang disebut dalam pengiktirafan sahaja. Hakmilik tanah yang diperolehi orang yang diiktiraf ini akan dicatiterakan sebagai ‘Certificated Land’ dan bukannya ‘Customary Land’.

Batasan urusniaga tanah adat

Secara umumnya, berdasarkan seksyen 108 Akta 518, tanah adat hanya boleh dipindahmilik, digadai, dipajak, atau diturun milik kepada orang Melayu sahaja. Sewaan atau lien atau kaveat amanah, surat tadbir kuasa atau surat kuasa wakil atau geran Probet tidak boleh diwujudkan atas kepentingan orang bukan Melayu. Walaubagaimanapun, subseksyen 108(2) Akta 518 membenarkan tanah adat dipindahmilik atau digadaikan kepada orang atau badan yang dinyatakan dalam Jadual Keenam atau Jadual Ketujuh Akta 518 tersebut.

Tafsiran Melayu

Melayu bermaksud seorang yang beragama Islam, lazim bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu serta-

(a) telah lahir di Persekutuan sebelum hari Merdeka atau lahir dari ibu bapa yang salah seorang darinya lahir di Persekutuan, atau pada hari tersebut bermastautin di Persekutuan; atau
(b) lahir dari orang yang tersebut.

Syarikat Tanah Adat Melaka ialah syarikat yang diperbadankan di bawah mana-mana undang bertulis yang berkuatkuasa pada masa ini dan berhubung dengan syarikat itu-

(a) semua ahli syarikat adalah Melayu;
(b) Artikel Persatuan melarang pindahmilik sahamnya kepada mana-mana orang bukan melayu; dan
(c) satu daripada objek syarikat ialah berurusan dengan tanah adat di Melaka;

dan Syarikat Tanah Adat Melaka yang memenuhi kesemua kriteria di atas hendaklah dianggap sebagai Melayu bagi tujuan Bahagian VIII, Akta 518.

Sumber : KPTG

Untuk menghubungi ejen hartanah anda, klik di sini.
https://wasap.my/60123792584/ejenhartanah
Untuk melihat senarai hartanah untuk dijual, klik di sini.